Dakwa banyak nyawa melayang akibat Covid-19 jika PH tadbir, Azmin fitnah

Dakwa banyak nyawa melayang akibat Covid-19 jika PH tadbir, Azmin fitnah

KENYATAAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, banyak nyawa rakyat akan melayang akibat Covid-19 jika Pakatan Harapan (PH) masih memerintah disifatkan tuduhan melampau dan tidak berasas.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng susulan dakwaan Azmin, antara lain kononnya beliau ketika menjadi menteri kewangan enggan mengeluarkan peruntukan bagi menangani pandemik itu.

“Beliau tuduh masa PH memerintah, saya sebagai menteri kewangan tak beri wang cukup untuk tangani Covid-19.

“Ini satu fitnah dan pembohongan kerana ia adalah sebaliknya. Kerajaan sudah maklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menteri pada masa itu juga boleh sahkan bahawa kerajaan akan beri segala sumber yang perlu untuk pastikan petugas barisan hadapan kita jalankan tugas mereka sebaik mungkin,” katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng menggesa Azmin untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan tersebut.

“Ini tidak adil juga pada (Datuk Seri) Dr Dzulkefly Ahmad (bekas menteri kesihatan) kerana dia menjalankan tugas dengan baik sekali,” katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly turut meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan Azmin yang dianggapnya sebagai suatu pembohongan.

“Untuk rekod, pada 24 Februari, kita ada 22 kes, 24 yang positif dan dua kes yang masih dalam wad bukan di ICU serta tiada kematian sehingga kami tinggalkan Putrajaya.

“Apa jua tuduhan dan kepalsuan yang cuba diulangi Perikatan Nasional (PN) khususnya menteri (Azmin) ini adalah pembohongan yang rakyat perlu tahu adalah sangat dahsyat,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, peruntukan juga sudah diberikan bagi menangani wabak tersebut.

“Peruntukan RM20 bilion kita dah beri awal lagi dan mula dibelanjakan untuk Covid-19.

“Ketua Pengarah KKM (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) juga berkata semasa PH, Covid-19 ini telah ditangani secara baik dan ada persiapan awal sebab itu tiada peningkatan dalam pandemik sehingga ada kluster UDA, Sri Petaling,” katanya lagi. – Malaysia Post