Dewan kecoh Tengku Zafrul dedah 101 projek ‘direct award’ kerajaan PH

Dewan kecoh Tengku Zafrul dedah 101 projek ‘direct award’ kerajaan PH

[Parlimen] DEWAN Rakyat kecoh apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mendedahkan terdapat 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Di bawah pentadbiran sebelum ini sejumlah 101 projek ataupun perolehan bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan,” katanya ketika penggulungan RUU Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (penyakit Covid-19) 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pendedahan itu menimbulkan suasana heboh apabila beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) meminta menteri untuk mengulang semula pendedahan itu selain menuntut senarai penuh projek berkenaan.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (PH – Bagan) kemudian bangun untuk menjawab pendedahan itu dan terbuka jika Tengku Zafrul mahu memberitahu senarai penerima.

“Seperti yang saya sebutkan tadi, apakah projek yang diberikan secara ‘direct award’, dan ia juga diluluskan oleh Kabinet, sepertimana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang pun tahu di mana kelulusan diberikan seperti syarat-syarat dinyatakan,” katanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson) kemudian bangun mempertahankan Guan Eng dengan bersetuju supaya senarai tersebut diumumkan.

“Saya setuju supaya semua senarai kontrak tanpa tender dihebahkan kepada awam dan semasa PH atau semasa PN,” katanya.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kemudian bangun untuk menjawab kenyataan Port Dickson namun mendapat tentangan Ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, membenarkan dengan memberi masa satu minit untuk Azmin menjawab.

Azmin berkata, menteri kewangan sudah memberikan butiran jelas bahawa di zaman PH terdapat rundingan terus bernilai RM6 bilion.

“…dan tidak betul bahawa Bagan (Guan Eng) kata Kabinet tahu, …mana ada pembentangan senarai-senarai projek rundingan terus itu.

“Bagan tidak pernah bentangkan senarai projek dalam Kabinet… tidak pernah,” katanya.

Pencerahan Azmin menambah lagi suasana kecoh di Dewan Rakyat apabila pihak pembangkang tidak puas hati dengan kenyataannya itu.

Antara yang bangkit adalah Ngeh Koo Ham (PH – Beruas), beliau senada dengan barisan pembangkang lain yang menuntut penjelasan senarai tersebut, meskipun dalam keadaan dewan semakin tidak terkawal.

Selang beberapa minit, Azhar memberi amaran kepada semua Ahli Parlimen yang membazir masa akan diusir dari dewan.

“Saya beri amaran kepasa semua siapa yang buang masa saya akan usir dari dewan. YB Beruas keluar,” katanya selepas memberi tiga kali amaran dan hanya dibenarkan kembali pada esok. – Malaysia Post