Mandela janji jadi penghubung Sabah, Sarawak dan Semenanjung

Mandela janji jadi penghubung Sabah, Sarawak dan Semenanjung

Awang Abdullah

NAIB Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Ceasar Mandela Malakun, menyifatkan kejayaannya memenangi jawatan itu dalam pemilihan baru-baru ini sebagai titik baharu perhubungan yang baik antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Mandela, 30, anak muda berbangsa Kadazan dari Penampang, Sabah, berkata sokongan diterimanya dari seluruh negara untuk menjadi pemimpin nombor dua Armada adalah satu sejarah bagi Bersatu.

Beliau berkata, ia juga menjadi lambang kesatuan di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang dibawa menerusi Bersatu dalam memperjuangkan hak seluruh rakyat.

“Seperti yang saya selalu ucapkan dalam kata-kata, Armada Sabah, Sarawak dan Semenanjung adalah satu ikatan harmoni dan saya berjanji untuk menjadi jambatan penghubung antara kita semua.

“Kepada sahabat-sahabat Armada yang memberi mandat kepada saya dalam kepemimpinan Nasional, saya amat terharu dengan sokongan anda semua. 

“Semoga anjakan paradigma ini menjadi titik bersejarah bagi parti kita untuk menghayati dan menjadi lambang kesatuan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Sebuah parti yang sebenar-benarnya dan sebetul-betulnya memperjuangkan hak rakyat di seluruh Malaysia kita yang tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan berhubung keputusan pemilihan Armada, baru-baru ini.

Mandela berkata, beliau sedar amanah yang diberi menerusi kemenangan itu bukan kecil, namun bertekad untuk memikulnya dengan penuh komitmen, ikhlas dan jujur.

Sambil berterima kasih kepada semua perwakilan Armada kerana memberi kepercayaan kepadanya, beliau menyatakan tidak mensia-siakan kepercayaan itu selain beriltizam melakukan yang terbaik kepada parti.

“Tetapi saya tidak mampu menjanjikan bulan dan bintang. Saya hanya mampu memberikan segala usaha termampu untuk membantu barisan kepemimpinan menjaga kebajikan, memartabat perjuangan dan mengukuhkan lagi keampuhan Bersatu serta Armada,” katanya.

Pada pemilihan Armada minggu lalu, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad menang sebagai Ketua Armada yang baharu bersama Mandela sebagai naib ketua.

Mandela turut menyatakan terima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor atas sokongan kepadanya. – Malaysia Post