Menteri ingkar SOP: Polis siasat, mahkamah tentukan hukuman

Menteri ingkar SOP: Polis siasat, mahkamah tentukan hukuman

Kerajaan hari ini menjelaskan hukuman kompaun RM1,000 bagi kesalahan ingkar perintah kuarantin adalah had maksimum mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali ia terpakai kepada semua yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan Covid-19 dan tiada sesiapa melebihi undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, bagi kes yang lebih serius berdasarkan siasatan polis dan jika dihadapkan ke mahkamah, seseorang itu boleh dikenakan hukuman lebih berat.

“Mengikut Akta 342, kompaun maksimum dikenakan ialah RM1,000 tetapi kalau ada kes lebih serius yang disiasat oleh polis, ini terpulang kepada polis dan peguam (untuk mengambil tindakan).

“Kalau dihadapkan ke mahkamah, maka keputusan akan dibuat selayaknya oleh pihak mahkamah,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Setiawangsa) yang bertanya bentuk hukuman terhadap menteri yang tidak patuh SOP.

Dr Noor Azmi berkata, undang-undang dan peraturan di bawah Akta 342 bukan untuk mendera sesiapa, sebaliknya untuk menyelamatkan rakyat dari bahaya Covid-19.

“Malah Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri sudah melalui fasa kuarantin di rumah, sekarang sesiapa yang langgar kuarantin kita akan kompaun,” katanya.

Persidangan kemudian kecoh seketika apabila beberapa wakil rakyat pembangkang mempersoalkan kenapa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali tidak dikenakan hukuman lebih berat kerana ingkar kuarantin.

Bagaimanapun ia diredakan oleh Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menyatakan ia sesi pertanyaan bukan sesi perbahasan sebelum meneruskan kepada soalan seterusnya.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Khairuddin dikompaun RM1,000 atas kesalahan gagal menjalani kaurantin kendiri sebaik pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Khairuddin juga memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia serta menyumbang gajinya selama empat bulan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Covid-19).- Malaysia Post