Mufti Perak dilapor semakin baik

KEADAAN Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang dimasukkan ke hospital swasta di Ipoh, Perak pagi semalam akibat angin ahmar dilaporkan bertambah baik.

Pakar Perubatan dan Neurologi Hospital KPJ Ipoh, Datuk Dr Zakaria Kadir berkata keadaan Mufti Perak itu ketika dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira jam 9 pagi itu agak teruk termasuk lemah sebelah kanan badan selain sukar bercakap.

“Alhamdulillah, petang semalam beliau dah mula beri reaksi dan hari ini bertambah baik, boleh bercakap beberapa perkataan serta ada reaksi emosi berbanding semalam,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata, selain memberikan ubat rehat kepada Mufti Perak itu kerana keadaannya yang keletihan, beliau turut memberi rawatan untuk memulihkan saluran darah dan rawatan bagi penyakit lain termasuk darah tinggi.

Dr Zakaria berkata, Harussani mungkin akan terus dirawat di ICU sekurang-kurangnya tiga hari lagi jika terus menunjukkan perkembangan positif sebelum dipindahkan ke wad biasa untuk rawatan dan pemulihan.

Sementara itu, Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berharap rakyat sama-sama mendoakan kesihatan dan kesejahteraan tokoh agama Perak tersebut selain meminta masjid serta surau mengadakan solat hajat dan bacaan Yassin.

“Kita masih lagi memerlukan khidmatnya, seorang tokoh, ulama di negeri Perak yang banyak jasanya,” katanya. – Malaysia Post