Penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang masih rendah

Penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang masih rendah

PRASARANA Malaysia Bhd komited untuk menarik lebih ramai masyarakat terutama di Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam sebagai mobiliti untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat dalam kehidupan seharian.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Muhammad Nizam Alias, berkata penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang masih di bawah 20 peratus.

Katanya, ia jauh lebih rendah berbanding Singapura dan Hong Kong, di mana kadar penggunaan pengangkutan awam di Singapura mencapai 60 peratus dan Hong Kong sehingga 90 peratus.

Muhammad Nizam berkata, pengangkutan awam adalah suatu mobiliti dan jika jumlah penggunaannya meningkat, ia mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Mengikut kajian Bank Dunia, pada 2020, diunjurkan Lembah Klang akan kehilangan 250 juta jam sehari disebabkan kesesakan jalan raya, yang mana jika 250 juta jam itu diterjemahkan ke dalam bentuk ringgit, ia berjumlah RM54 juta dibazirkan setiap hari, katanya seperti dipetik BH Online.

“Sekiranya kita dapat mengalihkan pengguna kenderaan peribadi untuk menggunakan pengangkutan awam, kita akan mengurangkan kesesakan, yang mana pengurangan itu akan diterjemahkan dalam bentuk penjimatan ekonomi.

“Misi saya adalah menarik lebih ramai masyarakat menerima pengangkutan awam sebagai satu mobiliti untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat dalam menjalankan kehidupan seharian mereka,” katanya.

Mengulas mengenai jumlah penumpang Prasarana di tengah-tengah penularan Covid-19, Muhammad Nizam berkata, jumlah pengguna perkhidmatan pengangkutan awam terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik itu.

Beliau berkata, dalam tempoh PKP, perkhidmatan rel Prasarana hanya membawa penumpang kira-kira lima peratus atau 40,000 hingga 50,000 penumpang sehari, jauh lebih rendah berbanding sebelum penularan pendemik itu iaitu sekitar 750,000 sehari.

Namun, katanya, jumlah penumpang kembali pulih secara ketara dengan kini mencapai 60 peratus selepas kerajaan membuka semula ekonomi.

Mengulas penggunaan pas perjalanan tanpa had My30, Muhammad Nizam berkata, sambutan terhadapnya amat memberangsangkan.

Katanya, berbanding pas perjalanan My100 sebelum ini, jumlah pengguna yang disumbangkan oleh My100 adalah sekitar 30 peratus, tetapi dengan My30, jumlah itu meningkat kepada 50 peratus. – Malaysia Post