Pernah terfikir berhenti belajar, Tomok kini bergelar graduan UUM

Pernah terfikir berhenti belajar, Tomok kini bergelar graduan UUM

Nurul Huda Abhar

PENYANYI, Tomok berkongsi pengalaman
pernah ingin menamatkan pengajian separuh jalan sepanjang hampir lima tahun menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang industri kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menerusi satu hantaran di laman media sosial, Tomok, 36, tetap cekal meneruskan usaha atas dorongan rakan-rakan sepengajian.

“Terima kasih kepada kawan-kawan BCIM yang selalu berikan sokongan pada saya. Walaupun sebenarnya saya nak give up (putus asa) masa semester dua lagi,” tulisnya.

Bagi pemilik nama Shah Indrawan Ismail,
dia mengakui wujud perasan gementar sebelum menduduki peperiksaan ujian Malaysia University English Test (MUET).

Menurut Tomok, perjalanan sepanjang menyambung pengajian seperti terlalu singkat, dan tidak menyangka sudah hampir lima tahun dia mengikuti pengajian ijazah sarjana muda tersebut.

“Penuh debaran untuk kertas MUET hari ini. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

“Ini bermakna kami hampir memperoleh ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di UUM. Pengajian menghampiri lima tahun bagai sekelip mata berlalu,” katanya.

Pelantun lagu Cinta Tak Pergi itu juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua tenaga pengajar yang mencurahkan ilmu sepanjang tempoh pengajiannya.

Tambah Tomok, isteri dan anak-anak adalah insan yang banyak memahami semasa dia menyambung pelajaran dan berjanji akan melakukan yang terbaik untuk keluarganya.

“Yang paling penting, terima kasih Allah untuk segalanya. Aku bersyukur ya Allah untuk segala nikmat yang diberikan.

“Semoga aku dapat jadi seorang insan yang lebih baik di masa akan datang. Amin,” katanya lagi. – Malaysia Post