PRN Sabah: PCS, LDP tolak kerjasama dengan parti lain

PRN Sabah: PCS, LDP tolak kerjasama dengan parti lain

Awang Abdullah

PARTI Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) kekal dengan pendirian menolak sebarang kerjasama dengan parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.

Kedua-dua parti mengambil pendirian menyertai pilihan raya kali ini secara bersendirian dengan misi untuk membentuk kerajaan baharu.

Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman, dalam kenyataannya menegaskan keputusannya untuk tidak bergabung dengan mana-mana parti atau pakatan adalah muktamad.

Bekas Menteri Luar itu berkata, PCS akan meneruskan rancangannya untuk bertanding di sebanyak mungkin kerusi seperti diumumkan sebelum ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memikirkan dan menginginkan PCS namun kami tetap dengan pendirian kami.

“Sebagai Presiden PCS, saya ingin mengulang dan menegaskan sekali lagi dasar perjuangan PCS untuk pilihan raya Sabah akan datang.

“Kami tidak berpakat dan bergabung dengan mana-mana parti untuk tujuan PRN dan akan bertanding sebanyak mana kerusi untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau  mengulas kenyataan Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kerjasama semua parti pembangkang di Sabah bagi menghadapi PRN.

Selain PCS, Ahmad Zahid turut menyebut Parti Maju Sabah (SAPP), LDP, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Sebelum ini, Anifah menegaskan bahawa PCS  tidak terikat dengan mana-mana pihak untuk melaksanakan apa saja agenda demi kepentingan rakyat Sabah.

Beliau menjelaskan parti itu adalah sebuah ‘Parti Lokal’ yang hanya ada satu perjuangan, iaitu untuk kepentingan Sabah.

“PCS tiada lagi ‘bertuan’ parti lain dari Malaya. Kami tidak perlu melapor ataupun mengambil arahan daripada mana-mana pemimpin Malaya,” katanya.

Beliau menegaskan, PCS hanya mengambil arahan daripada satu entiti sahaja iaitu ‘Anak Sabah’.

Sementara itu, LDP dalam satu kenyataan turut menegaskan parti itu tidak akan bergabung atau bekerjasama dengan Umno dan BN.

Setiausaha Agungnya, Datuk Yong Wui Chung, sebaliknya berkata, parti itu mahu bergerak sendiri dan bertanding di sebanyak mungkin kerusi pada PRN bulan depan.

Malah, beliau menjelaskan pihaknya tidak pernah berhubung dengan Ahmad Zahid selain tidak berminat dikaitkan lagi dengan BN.

Katanya, LDP sudah keluar dari BN sejak 2018 dan ia akan terus menjadi sebuah parti bebas yang tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, LDP yang ketika itu adalah komponen BN gagal memenangi sebarang kerusi lalu membuat keputusan keluar BN.

Difahamkan, LDP mempertaruhkan populariti bekas Ketua Menteri yang juga bekas Presidennya, Tan Sri Chong Kah Kiat untuk mengetuai misi LDP pada kali ini termasuk turut bertanding di kawasan Bumiputera Islam dan bukan Islam. – Malaysia Post