PRN Sabah: PCS tidak terima arahan parti Malaya

PRN Sabah: PCS tidak terima arahan parti Malaya

Awang Abdullah

PARTI Cinta Sabah (PCS) tidak terikat dengan mana-mana pihak untuk melaksanakan apa saja agenda demi kepentingan rakyat Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman menjelaskan parti itu adalah sebuah ‘parti lokal’ yang hanya ada satu perjuangan.

Bekas Menteri Luar itu berkata, perjuangan PCS  adalah untuk kepentingan Sabah dengan pembentukan kerajaan.

“PCS tiada lagi ‘bertuan’ parti lain dari Malaya. Kami tidak perlu melapor atau mengambil arahan daripada mana-mana pemimpin Malaya.

“Parti Warisan Sabah (Warisan) kena ambil arahan pimpinan pusat Pakatan Harapan (PH). Umno kena ambil arahan pimpinan pusat Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, PCS hanya mengambil arahan daripada satu entiti sahaja iaitu ‘Anak Sabah’.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kimanis itu juga berkata, PCS akan memperkenalkan manifesto perjuangannya tidak lama lagi.

Katanya, manifesto PCS mempunyai teras tunjang utama merangkumi semua lapisan masyarakat Sabah.

“Semua anak Sabah akan mendapat manfaat daripada perjuangan kita ini, Insya-Allah. 

“Teruskan sokongan anda kepada PCS, jadilah sukarelawan PCS, jadilah ahli PCS, hadirlah ke mana-mana program lokal PCS. Sokongan kamu adalah sokongan kepada Sabah,” katanya.