Rundingan terus PH satu rompakan harta rakyat

Rundingan terus PH satu rompakan harta rakyat

Fitri Nizam

PEROLEHAN projek secara ‘direct nego’ atau rundingan terus berjumlah RM6.61 bilion yang ditawarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah satu bentuk rompakan harta rakyat, kata Pemuda Umno Malaysia.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya memandang serius pendedahan yang menggemparkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz di Dewan Rakyat hari ini.

“Ini bukan sahaja satu lagi penipuan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang selama ini PH mengamalkan ‘tender terbuka’ seperti janji dalam manifesto mereka.

“‚Ķtetapi merupakan suatu bentuk perompakan kepada harta rakyat.

“Penipuan Guan Eng lebih terserlah apabila Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bangun menyanggah beliau di Dewan Rakyat bahawa 101 projek rundingan terus terbabit tidak pernah dibincangkan di Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Justeru, beliau berkata Pemuda Umno mendesak supaya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat perkara itu.

Katanya, SPRM perlu membuat siasatan untuk membongkar sebarang penyelewengan dan mendedahkan untuk pengetahuan rakyat.

“Pemuda UMNO juga menggesa kerajaan agar mendedahkan kepada umum senarai 101 projek yang terbabit supaya rakyat dapat mengetahui hakikat sebenar rompakan besar sepanjang 22 bulan pemerintahan PH,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul mendedahkan kerajaan PH telah meluluskan sebanyak 101 projek rundingan terus ketika mentadbir negara selama 22 bulan.