Seramai 515 individu ingkar PKP ditahan

Seramai 515 individu ingkar PKP ditahan

[Covid-19] Seramai 440 individu dikompaun manakala 69 lagi direman selepas didapati mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai hingga menyukarkan penjarakan fizikal menjadi penyumbang tertinggi apabila seramai 252 orang ditahan.

Selain itu katanya, aktiviti dalam pusat hiburan atau kelab malam juga mencatatkan kes yang tinggi iaitu sebanyak 205.

“Antara kesalahan lain ingkar arahan PKP termasuklah gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (18), tidak memakai pelitup muka (17), gagal mematuhi arahan kuarantin (2), premis beroperasi lebih masa (10), premis tanpa lesen (2), aktiviti perjudian (7) dan gagal lunaskan bayaran kompaun (2),” katanya.

Sementara itu, seorang individu dikenakan tindakan apabila didapati tidak mematuhi arahan kuarantin wajib di rumah selepas pulang dari luar negara.

“Polis mengadakan 434 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

“Daripada jumlah itu, seorang individu dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. – Malaysia Post