Speaker tegur Syed Saddiq tak bahas isu pokok

Speaker tegur Syed Saddiq tak bahas isu pokok

Fitri Nizam

[Parlimen] AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman ditegur apabila tidak membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) 2020.

Sebaliknya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu, membangkitkan isu yang disifatkannya sebagai ‘undang-undang dua darjat’ membabitkan hukuman terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Isu dibangkitkan itu menghangatkan keadaan apabila Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Shahidan Kassim bangun mempersolkan tindakan bekas Ketua Armada berkenaan.

Speaker Dewan Rakyat,  Datuk Azhar Azizan Harun pada mulanya tidak menghalang ucapan Syed Saddiq, namun kemudian menegurnya kerana tidak membahaskan perihal RUU yang sedang dibincangkan.

“Pasal pergi Turki tak ada kena mengena dengan dasar atau merit dengan rang undang-undang ini. Jadi marilah kita tumpukan pada RUU ini,” katanya.

Isu Khairuddin masih lagi hangat diperkatakan termasuk di Dewan Rakyat apabila mengundang rasa tidak puas hati pihak pembangkang kerana hukuman yang dianggap terlalu ringan iaitu RM1,000 sahaja.