SPRM diminta siasat 101 projek ‘direct nego’ kerajaan PH

SPRM diminta siasat 101 projek ‘direct nego’ kerajaan PH

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat 101 projek rundingan terus di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menurut Razlan, semasa pemerintahan PH, mereka berjanji tidak akan melaksanakan tender secara ‘direct nego’ dan akan melaksanakan semua perolehan kerajaan secara tender terbuka.

“Namun, sebanyak RM6 Billion duit rakyat telah ditipu untuk memberikan kepentingan kepada syarikat yang bersengkongkol dengan kerajaan PH, PH menipu rakyat untuk mendapat kuasa dengan berjanji akan melaksanakan tender terbuka dan telus.

“Bagaimana mungkin hanya jangka masa 22 bulan memerintah, kerajaan PH boleh menilai projek-projek sebanyak 101 dilaksanakan dengan secara telus.

“Dengan masa singkat ini, kerajaan PH telah memberi tender terhad kepada syarikat yang berkepentingan dengan kerajaan PH, ini akan merugikan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau seterusnya meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) membatalkan kesemua tender-tender terhad yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat terbabit.

“Kerajaan PN kena berani mengambil tindakan ini sekiranya tidak mahu rakyat melihat PN bersengkongkol dengan kerajaan PH di dalam pengagihan kekayaan negara secara tidak telus,” ujarnya. – Malaysia Post