5 ditahan kerana pasang bendera terbalik

5 ditahan kerana pasang bendera terbalik

SEORANG pemandu lori sampah warga tempatan serta empat pekerja warga Bangladesh ditahan selepas memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Kejadian itu dikesan  sekitar jam 9.40 pagi semalam, selepas seorang lelaki yang juga pengadu melihat sebuah lori sampah milik sebuah syarikat memasang bendera Malaysia secara terbalik di hadapan lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejadian berkenaan dikesan berlaku di hadapan masjid Bandar Country Homes, Rawang.

“Pengadu berusia 36 tahun itu kemudian memberhentikan lori berkenaan dan menegur pemandunya selain merakam insiden itu sebelum ia tular di media sosial.

“Pengadu kemudian membuat laporan polis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Komunikasi Multimedia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, Arifai berkata, pihaknya menahan pemandu berusia 48 tahun itu bersama empat pekerja syarikat yang juga warga Bangladesh berusia 30 hingga 43 tahun pada jam 7.30 malam tadi dan kesemua mereka akan direman hari ini. – Malaysia Post