Dedah semua tender ‘direct award’ zaman PN, BN juga – Guan Eng

Dedah semua tender ‘direct award’ zaman PN, BN juga – Guan Eng

“KITA tengok nanti siapa yang kantoi dan kroni siapa dapat projek,” kata Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika mendesak Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mendedahkan senarai penuh tender secara langsung (direct award) bukan saja ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH), malah di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

“Atau takut kalau terbongkar nanti bahawa YAB Perdana Menteri dan menteri-menteri “Pengkhianat” pun ada minta tender “direct award” daripada saya semasa jadi Menteri Kewangan.

“Jangan suka baling batu sembunyi tangan. Berani kerana benar,” tulis Guan Eng menerusi Facebooknya malam tadi.

Semalam, Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan terdapat 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan ketika pentadbiran kerajaan PH.

Pendedahan itu menimbulkan suasana heboh apabila beberapa Ahli Parlimen PN menuntut senarai penuh projek berkenaan.

Guan Eng kemudian bangun untuk menjawab pendedahan itu dan terbuka jika Tengku Zafrul mahu memberitahu senarai penerima, selain mendakwa ia diluluskan oleh Kabinet.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga bekas menteri PH, mendakwa ia tidak pernah dimaklumkan kepada Kabinet.

Guan Eng berkata kerajaan PH mengamalkan tender terbuka, tetapi pengecualian diberi tertakluk kepada syarat tertentu seperti perolehan masa krisis atau bencana alam.

Selain itu, perolehan yang berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara, kepakaran khusus yang diperlukan dan sebagainya.

“Tambahan pula, ia melibatkan keputusan Kabinet. Semua prosedur dipatuhi,” katanya. – Malaysia Post