KPKT gubal akta baru, kawal atur sewaan rumah kediaman

KPKT gubal akta baru, kawal atur sewaan rumah kediaman

[Parlimen] KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melaksanakan kajian dan penggubalan Akta Sewaan Kediaman atau Residential Tenancy Act (RTA).

Akta yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2021 itu antara lain untuk mengawal atur sewaan rumah kediaman.

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata ia juga bagi melindungi penyewa sekiranya berlaku kenaikan sewa yang tidak sah serta pengusiran tidak munasabah.

Selain itu, katanya, ia dapat mewujudkan satu kerangka perundangan untuk mengawal atur sistem kawalan sewaan kediaman.

“Ia juga mengimbangkan kepentingan kewajipan pemilik kediaman dan penyewa serta menyelesaikan pertikaian antara pihak-pihak berkenaan.

“Pada masa sama mewujudkan institusi penyelesaian pertikaian seperti mediator dan tribunal antara pihak-pihak yang terlibat dalam urus niaga atau transaksi tersebut,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan hari ini.

Beliau menjawab soalan Chang Lih Kang (PH – Tanjung Malim) yang meminta kementerian menyatakan usaha memastikan pasaran sewa rumah kediaman berada dalam kemampuan kebanyakan rakyat.

Menjelaskan lebih lanjut, Ismail berkata dengan berkuat kuasanya akta itu, diharap pasaran sewa kediaman berada dalam kemampuan kebanyakan rakyat dan hak tuan rumah dan penyewa akan dilindungi di bawah peruntukan perundangan.
Beliau berkata pasaran sewa rumah kediaman di Malaysia pada masa ini tidak dikawal oleh mana-mana perundangan khusus.

“Oleh itu, tiada panduan khas ditetapkan bagi menentukan kadar sewa rumah kediaman.

“Bagaimanapun, secara praktisnya kadar sewa rumah dipengaruhi pelbagai faktor seperti cukai tanah, cukai pintu, lokasi sama ada di bandar atau luar bandar, aksesibiliti terhadap kemudahan disediakan, jarak dengan pengangkutan awam berhampiran dan kemudahan awam,” katanya. – Malaysia Post