Legenda Brazil, Ronaldinho kini bebas

Legenda Brazil, Ronaldinho kini bebas

PEMENANG Piala Dunia 2002, Ronaldinho dibebaskan oleh hakim Paraguay hari ini selepas lima bulan ditahan kerana dakwaan menggunakan passport palsu.

Hakim Gustavo Amarilla juga membebaskan abang Ronaldinho, Roberto de Assis Moreira, yang juga ditahan selama sebulan di penjara dan empat bulan lagi menerusi tahanan rumah di sebuah hotel di Ausncion, Paraguay kerana dakwaan sama.

Hakim berkenaan memaklumkan, bekas bintang Brazil berusia 40 tahun itu bebas untuk ke mana-mana negara di dunia tetapi mesti memberitahu pihaknya jika Ronaldinho menukar status penduduk tetap dalam tempoh setahun.

“Dia tidak dikenakan halangan kecuali perlu memenuhi tanggungjawab memperbaiki kerosakan dilakukan kepada masyarakat,” katanya seperti dilapor AFP.

Memakai jeans dan baju hitam, Ronaldinho menerima syarat berkenaan termasuk bayaran ganti rugi $90,000 (RM375,795).

Abangnya yang juga pengurus perniagaan Ronaldinho, mesti membayar $110,000 (RM459,305).

Kedua adik beradik itu juga mesti berdepan hakim di Brazil setiap tiga bulan, di mana masing-masing Ronaldinho selama setahun dan abangnya dua tahun. – Malaysia Post