Pemilik Honda Accord lapor polis, nafi langgar ‘rider’ Food Panda

Pemilik Honda Accord lapor polis, nafi langgar ‘rider’ Food Panda

PEMANDU kereta yang didakwa melanggar lari motosikal ditunggang penghantar Food Panda di Persiaran Putra Mahkota, Subang Jaya, semalam, menafikan dirinya terbabit dalam kemalangan itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at, berkata pihaknya menerima laporan dibuat pemilik Honda Accord berusia 30 tahun mengenai penafian itu.

“Menurut lelaki itu, dia mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan adiknya pada 3 petang (semalam) mengatakan tular di media sosial kereta miliknya terbabit kemalangan langgar lari membabitkan motosikal ditunggang penghantar makanan.

“Lelaki itu kemudian membuat laporan polis memaklumkan dia melihat kemalangan berkenaan, namun menafikan dirinya terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, berdasarkan keterangan, kemalangan berlaku ketika lelaki itu memandu keretanya dari arah Persiaran Putra Perdana ke arah Persiaran Putra Indah pada 10.18 pagi.

Katanya, lelaki itu memaklumkan dia nampak dengan jelas motosikal Yamaha LC135 ditunggang lelaki terlanggar pembahagi jalan di tengah simpang tiga jalan berkenaan.

“Penunggang motosikal itu dikatakan tercampak kira-kira lapan meter ke hadapan dan ditemui terbaring di tengah jalan.

“Pengadu kemudian memberhentikan keretanya di bahu jalan untuk membantu mangsa, namun terus beredar dari lokasi untuk membawa anaknya ke klinik selepas melihat orang ramai memberi bantuan kepada mangsa,” katanya.

Keadaan motosikal mangsa. – Foto JSPT Selangor

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya berjaya mengesan penunggang motosikal yang dilaporkan dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

“Siasatan dilakukan melalui pemeriksaan terhadap kereta Honda Accord berkenaan mendapati tiada kesan kemalangan atau calar mahupun kemek pada kenderaan terbabit.

“Motosikal mangsa yang ditemui di lokasi kejadian didapati mengalami beberapa kerosakan termasuk rim hadapan bengkok dan kenderaan itu dibawa ke balai untuk pemeriksaan forensik,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu diteruskan bagi mengesahkan punca kemalangan dan penafian pengadu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222 untuk tindakan lanjut,” katanya. – Malaysia Post