PKPD di Perlis, Kedah ditamatkan

Kerajaan setuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (TEMCO) di beberapa kampung di Perlis dan Kedah.

Ia membabitkan Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, Perlis dan di empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah pada esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira tiada kes positif baharu dan kesemua penduduk di kawasan terlibat telah disaring.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap.

“Terdapat beberapa kes positif dilaporkan di empat daerah di Kedah yang melibatkan Kluster Tawar.

“Pihak KKM telah memutuskan bahawa TEMCO tidak perlu dikenakan kerana kawalan secara kumpulan bersasar masih boleh memastikan jangkitan terkawal,” katanya dalam sidang media hari ini.