PRK Slim: 267 pegawai, anggota polis undi awal hari ini

PRK Slim: 267 pegawai, anggota polis undi awal hari ini

PUSAT pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dibuka pada jam 8 pagi tadi.

Dibuka sehingga 5.30 petang, pusat pengundian awal itu bagi membolehkan 267 pegawai dan anggota polis menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada pilihan raya kali ini.

Proses pengundian ini juga menyaksikan pematuhan garis panduan pencegahan Covid-19 seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan sanitasi tangan dan saringan suhu badan dilaksanakan.

Proses pengundian awal disaksikan oleh ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain disiarkan secara live streaming menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian, 29 Ogos ini di pusat pengiraan undi di bilik menunggu di Majlis Daerah Tanjung Malim.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas, S Santharasekaran dan Amir Khusyairi. – MalaysiaPost