TNB potong bekalan elektrik pusat judi

TNB potong bekalan elektrik pusat judi

SEBANYAK 18 premis yang disyaki terbabit aktiviti perjudian dalam talian di sekitar Lembah Klang dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), semalam.

18 premis itu masing-masing di Ampang, Pandan Indah dan Pandan Perdana.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Mohd Azam Ismail berkata, tindakan itu diambil bagi mengekang aktiviti perjudian di kawasan berkenaan.

“Operasi bersepadu itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dengan kerjasama TNB bermula pada jam 12 tengah hari,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mohd Azam berkata, tindakan pemotongan elektrik oleh kakitangan TNB mengikut Undang-Undang di bawah seksyen 38 (1A) Electricity Supply (Amendment) Act 2001.

“Kita juga bertindak mengikut Undang-Undang Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289 – Pindaan 2001) dengan kuasa-kuasa yang telah diberikan di bawah seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289 – Pindaan 2001) ke atas premis yang menjalankan kegiatan perjudian,” katanya. – Malaysia Post