Keracunan gas: Sharifah Fariesha dijadual nikah tahun depan

Keracunan gas: Sharifah Fariesha dijadual nikah tahun depan

SEORANG daripada gadis yang maut kerana keracunan gas karbon monoksida di Pulau Pinang awal pagi semalam, bakal melangsungkan pernikahan pada Oktober tahun depan.

Perkara itu didedahkan ibu arwah Sharifah Fariesha Syed Fathi, Hasnida Hassan, 47.

Katanya, anak tunggalnya berusia 21 tahun itu adalah anak yang baik dan menghormati orang tua, malah tidak pernah buat sesuka hati tanpa pengetahuan dia dan suami.

“Saya reda apabila ditakdirkan anak saya meninggal dunia disebabkan kejadian itu, walaupun dia satu-satunya anak yang saya ada tetapi Allah dah ambil semula,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Hasnida berkata, Sharifah Fariesha bertunang dengan lelaki pilihannya pada Ogos lalu dan pernah menyatakan impian untuk berkahwin dengan tema sangat cantik.

Katanya, arwah memang sukakan kecantikan, malah gemar bersolek dan bersiap untuk sentiasa kelihatan cantik.

“Ketika saya menatap wajahnya kali terakhir ketika hendak dikafankan semalam, wajahnya sangat berseri dan bersih.

“Dia memang anak yang manja, malah hubungan saya dengan dia bukan saja sebagai ibu dan anak, malah dia jadikan saya sebagai kawan serta tempat mengadu masalah,” katanya.

Mengimbas detik memilukan itu, Hasnida berkata dia dan suami, Syed Fathi Syed Zain, 60, cuba menghubungi telefon bimbit anak mereka beberapa kali sejak jam 9 malam kelmarin, namun tidak dijawab.

“Saya rasa tak sedap hati apabila anak saya tidak membalas WhatsApp yang dihantar jam 11 malam menyebabkan hati saya semakin berdebar.

“Arwah jarang tidak membalas setiap WhatsApp menyebabkan saya minta tunang arwah yang bekerja di Sarawak untuk membantu menghubunginya,” katanya.

Hasnida berkata, tunang anaknya itu berjaya menghubungi telefon bimbit arwah dan dimaklumkan mereka ditemui dalam keadaan “tertidur” dalam kereta di stesen minyak di Pulau Pinang dengan enjin dan pendingin hawa yang masih terpasang.

“Masa tu dah jam 1 pagi dan saya terus ke Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang dan dimaklumkan arwah anak saya sudah meninggal dunia menyebabkan seluruh badan saya seolah-olah lumpuh kerana kehilangannya,” katanya.

Dalam kejadian jam 1 pagi semalam, empat sahabat karib, Sharifah Fariesha, Ayuni Shazwanie Shabri, Nor Adilah dan Nor Aqilah masing-masing berusia 21 tahun, berhenti rehat di stesen minyak sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing dekat Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Bagaimanapun, mereka ditemui tidak sedarkan diri dalam kenderaan itu dipercayai akibat kebocoran gas karbon monoksida – Malaysiapost