Portal bahasa Mandarin SPRM dibidas

Portal bahasa Mandarin SPRM dibidas

Muhammad Mustakim Ramli

SUDAHLAH tidak faham, kerajaan perlu keluarkan dana untuk membangunkan kemudahan untuk memahami sesuatu dalam bahasa ibunda.

“Mungkin kita tidak perasan atau lupa, bahawa banyak lagi tempat yang memerlukan ‘terjemahan’,” kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya.

Kenyataan keras itu dibangkitkan susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan portal berbahasa Mandarin bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu.

Aminuddin berkata, beliau tidak pasti adakah dengan langkah itu bermaksud ramai dari masyarakat Cina tidak memahami bahasa kebangsaan mahupun bahasa Inggeris.

“Selepas lebih 60 tahun, sepatutnya semua orang fasih berbahasa kebangsaan, bukan setakat faham sahaja.

“Tetapi apa yang berlaku ini jauh lebih teruk, faham pun tidak. Sudahlah tidak faham, kerajaan perlu keluarkan dana untuk membangunkan kemudahan untuk memahami sesuatu dalam bahasa ibunda.

“Mungkin kita tidak perasan atau lupa, bahawa banyak lagi tempat yang memerlukan ‘terjemahan’,” katanya menerusi hantarannya di Facebook.

Beliau kemudiannya memberi contoh di mahkamah, di mana ramai rakyat Malaysia yang perlukan khidmat penterjemah dalam bahasa ibunda mereka untuk urusan mahkamah termasuk perbicaraan.

“Itu belum lagi papan tanda di kawasan tertentu yang dipenuhi dengan bahasa Mandarin.

“Malah, sewaktu pilihan raya pun penuh dengan poster kempen dalam bahasa Mandarin jika kita pergi ke kawasan yang terdiri majoriti Cina,” katanya.

Aminuddin mendakwa, antara masalah terbesar ialah sistem sekolah vernakular yang terlalu mengakar dan besar di negara sehingga ada segmen masyarakat tertentu yang tercicir dan terperangkap dengan ‘bubble’ mereka tersendiri.

“Kalau dari kecil pun tidak terdedah dengan bahasa kebangsaan dengan baik, tidak mustahil apabila besar nanti akan hadapi masalah memahaminya.

“Bukan setakat bahasa kebangsaan sahaja, mungkin ramai yang janggal dengan abjad tulisan rumi.

“Sebab itulah terjemahan bahasa Inggeris pun ramai yang tidak faham sehingga perlukan terjemahan bahasa Mandarin dan tidak terkejutlah jika ramai yang ‘fobia’ apabila melihat tulisan Jawi!,” katanya.

Sementara itu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) turut membidas tindakan SPRM itu kerana dilihat tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Ketua Penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata adakah selepas 63 tahun Merdeka, masih ada yang lemah penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat sehingga portal kerajaan perlu diterjemah kepada bahasa Mandarin.

“Atas alasan kononnya demi meningkatkan keyakinan dan pengetahuan masyarakat Cina ke atas SPRM seperti kenyataan rasmi mereka.

“Jika mengambil kira keperluan untuk memberi kefahamkan masyarakat berbilang kaum seperti diperjelas SPRM, adakah terjemahan untuk kaum Cina semata, bagaimana pula kepentingan masyarakat Tamil, etnik Sabah dan Sarawak?,” katanya.

Katanya, Armada mendesak SPRM untuk mengkaji semula portal bahasa Mandarin ini supaya ia selari dengan agenda berterusan memikul tanggungjawab moral kebangsaan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai pengikat perpaduan.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin memandang serius isu ini dan menganggap tindakan berkenaan adalah sangat tidak wajar kerana mengenepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Apakah SPRM ingin mengatakan bahawa salahlaku rasuah yang tinggi berpunca daripada kegagalan memahami portal SPRM dalam bahasa Melayu? Persoalan ini perlu dijawab oleh SPRM.

“Saya menggesa Pindaan Akta DBP 1959 dibentangkan di Parlimen sesi akan datang supaya peranan DBP tidak dilihat hanya memberi galakan penggunaan bahasa Melayu semata-mata.

“Malah memberi punca kuasa kepada DBP bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang ingkar terhadap penggunaan bahasa Melayu yang dijamin oleh perlembagaan,” katanya.-Malaysiapost

Google+ Linkedin