Internet percuma: Fahmi ‘hentam’ Zahidi

Internet percuma: Fahmi ‘hentam’ Zahidi

Muhammad Mustakim Ramli

PENGARAH Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ‘menghentam’ Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berhubung perancangan kementerian itu hendak menyediakan perkhidmatan internet atau ‘Wi-Fi’ percuma di institut pengajian tinggi (IPT).

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, hampir semua IPT sudah mempunyai perkhidmatan internet percuma dan mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih mahu mengkaji perkara itu.

“Hampir semua atau memang semua IPT sudah ada internet percuma untuk mahasiswa. Setahu saya, seluruh kampus UM (Universiti Malaya) ada prasarana asas ini.

“Jika pun terdapat mana-mana IPT yang belum ada internet percuma, mengapa masih perlu dikaji dibincang? Laksanakan terus sahajalah! Apa masalah Timbalan Menteri ini sebenarnya?,” katanya menerusi akaun Facebooknya.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melihat kemungkinan akan menyediakan perkhidmatan internet atau rangkaian jalur lebar secara percuma di IPT dalam negara.

Timbalan Menterinya dilaporkan berkata, ia penting bagi meringankan beban ditanggung pelajar khususnya mereka yang tidak berkemampuan untuk melanggan perkhidmatan internet.

“Kita bercadang dan mahu berbincang mengenai bagaimana kita boleh realisasikan penyediaan internet atau ‘Wi-Fi’ percuma di semua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Pada masa sama, kita juga mahu panjangkan kepada IPT lain agar dapat mengurangkan perbelanjaan besar yang terpaksa ditanggung pelajar, sekali gus membantu mereka yang susah,” kata Zahidi Zainul. – Malaysiapost