Muafakat kunci kejayaan GRS

Muafakat kunci kejayaan GRS

MUAFAKAT antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) adalah kunci kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau bersyukur atas kemenangan dan kerjasama dalam GRS yang membuahkan hasil membanggakan.

“Alhamdulillah, angin perubahan telah melanda Sabah. GRS telah membuktikan kesepakatan itu pasti akan membawa kejayaan.

“Muafakat BN, PN dan PBS adalah kunci kepada kejayaan ini,” katanya menerusi Facebooknya.

Beliau berkata, rakyat Sabah telah membuat keputusan dan semoga keputusan tersebut dapat dihormati agar terbentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil.

Katanya, kepada semua pengundi Sabah, mandat yang diberikan tidak akan dipersiakan.

“Kepada mereka yang menang, masa bekerja telah tiba. Jangan lagi bertangguh dan tunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan sebaiknya

“Kepada mereka yang tewas, semoga semangat demokrasi terus kita raikan.

“Insya-Allah apa yang berlaku di Sabah akan menyemarakkan lagi perubahan di seluruh negara,” katanya.

Mohamad turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi, petugas dan jentera parti atas kejayaan manis itu. -Malaysiapost