Bung Moktar gembira pembahagian jawatan Sabah

Bung Moktar gembira pembahagian jawatan Sabah

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin gembira dengan pembahagian jawatan dalam Kabinet negeri yang diputuskan hari ini.

Beliau berkata, pertukaran portfolio antara beliau dengan Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun bukan isu sebaliknya disebabkan masalah komunikasi.

“Ia bukan isu (pertukaran portfolio), cuma sedikit masalah komunikasi, kami gembira (pembahagian jawatan dalam Kabinet) dan kami sebahagian daripada kerajaan.

“Kini kami mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan negeri dan rakyat Sabah, itu fokus utama kami,” katanya dalam sidang media di kediamannya di Luyang.

Pagi tadi, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Masidi dilantik Menteri Kerja Raya.

Bagaimanapun, Hajiji dalam sidang media di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) mengumumkan pertukaran portfolio antara Bung Moktar dan Masidi. – Malaysiapost