GRS bincang wakil Cina dalam Kabinet

GRS bincang wakil Cina dalam Kabinet

KETUA Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata beliau akan membincangkan isu ketiadaan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet baharu negeri pimpinannya.

Katanya, perkara itu akan dibincang dengan rakan parti dalam Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Jelasnya, isu itu juga antara pertimbangan diambil kira dalam pelantikan lima lagi jawatan menteri, selain pembantu menteri untuk mengisi portfolio Kabinet negeri.

“Kita akan melihat perkara itu sebab kita ada lagi lima menteri lain yang akan mengangkat sumpah.

“Itu kita akan bincang dengan rakan dalam PN, BN dan PBS. Kita buat yang terbaik untuk mentadbir Sabah ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di Kota Kinabalu.

Hajiji mengulas sama ada kerajaan pimpinannya akan mewujudkan semula Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik untuk membolehkan masyarakat Cina dan minoriti dibawa masuk dalam Kabinet beliau.

Kebiasaannya, Sabah memiliki tiga Timbalan Ketua Menteri, masing-masing mewakili Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina.

Bagaimanapun, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang merangkumi kerjasama PN, BN dan PBS tidak memiliki Adun mewakili masyarakat Cina selepas semua calonnya kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

GRS meletakkan calon BN daripada MCA, calon PN daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dan calon Cina daripada PBS di kerusi majoriti Cina, namun semuanya kalah kepada Parti Warisan Sabah dan rakan sekutunya.

Antara kerusi majoriti Cina ialah Api-Api yang ditandingi calon PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai; calon MCA, Lu Yen Tung (Kapayan) dan Dr Chang Kee Ying (Likas).

Kerusi lain yang ditandingi calon Cina ialah Luyang, Tanjung Aru, Elopura, Karamunting, Tanjung Kapor dan Sri Tanjong. – Malaysiapost