Hajiji dilantik Ketua Menteri atas sentuhan Umno

Hajiji dilantik Ketua Menteri atas sentuhan Umno

Nurul Huda Abhar

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendakwa Datuk Seri Hajiji Mohd Noor hanya terpilih untuk dilantik Ketua Menteri selepas Barisan Nasional (BN) bersetuju menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

”Dari katak ke putera raja selepas dicium Umno,” katanya dalam hantaran di laman Facebook semalam.

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada pemilihan Hajiji sebagai Ketua Menteri, disebabkan kerjasama BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Semalam, terdapat dakwaan bahawa berlaku perselisihan pendapat di mana BN mahukan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai Ketua Menteri Sabah, manakala Bersatu mencalonkan Hajiji.

Kemudian, Hajiji dalam satu sidang media memaklumkan keputusan sebulat suara melantik namanya sebagai Ketua Menteri.

Menurut beliau, pencalonannya sebagai Ketua Menteri disokong semua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bekerjasama di bawah GRS.

Hajiji juga sudah menerima jemputan dari Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk acara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri jam 10 pagi ini. – Malaysiapost