Pulih ekonomi, bendung Covid-19 tumpuan Hajiji

Pulih ekonomi, bendung Covid-19 tumpuan Hajiji

KETUA Menteri Sabah yang baharu, Datuk Hajiji Noor memberi tumpuan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negeri dan membendung penularan Covid-19 di Sabah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu berkata penularan Covid-19 adalah cabaran utama yang perlu dihadapi kerajaannya.

“Kita harap mereka yang diberi amanah supaya melaksanakan tugas dengan seberapa baik mungkin kerana kita mengambil-alih kerajaan ini dalam suasana yang bukan biasa.

“Ekonomi terjejas akibat Covid-19 dan matlamat kita ialah untuk memulihkan ekonomi akibat Covid-19. Saya yakin menteri yang dilantik akan menggalas tanggungjawab dengan baik.

“Saya yakin mereka ada pengalaman dan boleh melaksanakan tanggungjawab untuk membela nasib rakyat negeri ini,” katanya pada sidang media pertamanya selepas melapor diri di Pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di Kota Kinabalu.

Hajiji menyifatkan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri adalah penyempurnaan kepada mandat yang diberikan rakyat untuk menubuhkan kerajaan baharu.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada sekalian rakyat yang menunaikan hak dan tanggungjawab dalam proses demokrasi sekali gus membolehkan penubuhan kerajaan baharu secara tertib dengan kewujudan mandat yang jelas,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) khususnya daripada PN, Barisan Nasional (PN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Bebas yang memberi sokongan untuk beliau memimpin kerajaan negeri.

“Sesungguhnya saya adalah Ketua Menteri kepada kerajaan negeri yang inklusif dan akan memberi sepenuh khidmat kepada rakyat Sabah tanpa mengira perbezaan latar bekakang dan pegangan politik.

“Amanah dan tanggungjawab ini amat besar dan mencabar. Saya memohon semua pihak termasuk sekalian rakyat untuk bersatu demi kepentingan tanah air.

“Hasrat saya untuk memimpin sekalian rakyat ke arah Sabah Maju Jaya. Cabaran utama di hadapan kita adalah untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan menangani implikasinya,” katanya. – Malaysiapost