Saya beritahu sebabnya selepas bersara – Masidi

Saya beritahu sebabnya selepas bersara – Masidi

TIMBALAN Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun meminta pengikutnya di media sosial supaya tidak bertanya sebab beliau dan Datuk Seri Bung Moktar Radin bertukar portfolio.

Pertukaran portfolio itu berlaku kurang tiga jam selepas masing-masing mengangkat sumpah jawatan di Istana Negeri, hari ini.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan berkata, beliau kini Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan selepas bertukar jawatan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.

“Kurang tiga jam selepas dilantik menjadi Menteri Kerja Raya, sekarang saya Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Saya bertukar jawatan dengan Bung. Tolong jangan tanya sebabnya. Saya akan beritahu selepas bersara,” katanya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor sebentar tadi mengumumkan pertukaran portfolio antara Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Masidi.

Ketika mengangkat sumpah pagi tadi, Bung Moktar yang juga Adun Lamag diumum memegang portfolio Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, manakala Masidi sebagai Menteri Kerja Raya.

Hajiji turut mengumumkan satu lagi portfolio baharu untuk Masidi iaitu Menteri Kewangan 2. – Malaysiapost