Hentikan sandiwara – Bung Moktar

Hentikan sandiwara – Bung Moktar

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu semua pihak yang masih bersandiwara dengan menyalahkan pemimpin tertentu dalam hal dan urusan Sabah susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), supaya menghentikan tindakan tersebut.

Bung Moktar berkata, pihak berkenaan seharusnya berlaku adil, agar tidak merugikan parti dengan agenda peribadi.

“Kita jernihkan keadaan, bukan mengeruhkan lagi kedukaan kita dengan keputusan PRN baru- baru ini.

“Duka dan pedihnya, Umno Sabah yang merasainya, kita undur selangkah ke belakang bukan bererti kalah, tetapi kita bersedia untuk melangkah jauh lagi ke hadapan,” katanya menerusi Facebook Barisan Nasional (BN), hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata, pihaknya juga akan menjalankan ‘post mortem’ bagi mencari punca beberapa kerusi yang ditandingi BN mengalami kekalahan.

“Kami juga akan membuat penambahbaikan demi memastikan BN dapat merampas semula kerusi-kerusi tersebut pada PRN akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Bung Moktar berkata, beliau bersyukur walaupun berhadapan pelbagai rintangan dan tentangan pelbagai pihak, BN masih mampu memenangi 14 daripada 32 kerusi yang mereka tandingi, malah 70 peratus daripadanya adalah muka baharu.

Bung Moktar berkata, UMNO Sabah juga akan membuat penambahbaikan bagi memastikan BN dapat merampas semula kerusi-kerusi tersebut pada PRN akan datang.

Dalam pada itu, Bung Moktar turut memohon maaf kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengharapkan beliau menjadi Ketua Menteri Sabah namun ia tidak kesampaian.

“Jawatan Ketua Menteri memang menjadi harapan Umno Sabah tetapi kami menyedari dan menginsafi dengan hanya 14 kerusi sahaja sukar kepada Umno Sabah menuntut jawatan tersebut,” katanya. -Malaysiapost