Adun DAP resah PAS dilantik Adun, Menteri Sabah

Adun DAP resah PAS dilantik Adun, Menteri Sabah

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP, Jannie Lasimbang khuatir wakil Pas bakal dilantik sebagai Adun di Sabah.

Adun Kapayan itu membuat spekulasi, Pas akan dilantik sebagai Menteri Kementerian Undang-undang dan Anak Negeri.

Katanya, kemungkinan ahli Pas yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Anak Negeri di Sabah akan mengabaikan orang Asli Sabah kerana parti itu adalah ultra-Melayu dan tidak menegakkan atau menghormati pluraliti budaya.

“Banyak prinsip budaya asli penting yang telah dikerjakan oleh kementerian di bawah pemerintahan Warisan Plus dan penambahbaikan terhadap sistem Mahkamah Anak Negeri cenderung diabaikan kerana ini tidak menjadi kepentingan Pas.

“Usaha yang diperkenalkan dan dicapai dalam 26 bulan jauh lebih relevan dengan Sabah daripada Dasar Kebudayaan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Pas dengan jelas menunjukkan bahawa parti itu tidak terbuka untuk penganut agama lain.

Perlembagaan Sabah membenarkan Ketua Menteri melantik enam Adun bagi menambah dan seterusnya mengukuhkan kedudukan kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menerusi ciapan Twitter, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini ada mencadangkan agar kerajaan baru Sabah melantik wakil pemimpin seperti Pas untuk menganggotai Kabinet atau Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Saya percaya seorang wakil Pas akan mengisi satu dari enam Adun dilantik. Mungkin dua lagi dari Umno, tiga lagi dari PBS, Star dan Bersatu,” katanya.

Semalam, Bersatu Terengganu telah mencadangkan kerajaan baharu Sabah melantik wakil pemimpin daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) seperti Pas menganggotai Kabinet negeri itu. – Malaysiapost