Annuar Musa cadang kerajaan Sabah lantik wakil PAS sebagai Adun Dilantik

Annuar Musa cadang kerajaan Sabah lantik wakil PAS sebagai Adun Dilantik

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mencadangkan supaya kerajaan baharu Sabah melantik seorang wakil PAS bagi mengisi satu daripada enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik.

Perlembagaan Sabah membenarkan Ketua Menteri melantik enam Adun bagi menambah dan seterusnya mengukuhkan kedudukan kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Difahamkan, Annuar mencadangkan demikian sebagai menghargai PAS yang tidak meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, namun tetap mengerah jentera dalam membantu kempen BN dan Perikatan Nasional (PN).

“Saya percaya seorang wakil PAS akan mengisi satu dari enam Adun dilantik. Mungkin dua lagi dari Umno, tigalagi dari PBS, Star dan PPBM (Bersatu),” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh turut menyatakan harapan untuk melihat Adun Dilantik dalam kalangan wanita.

Pada PRN Sabah Sabtu lalu, Gabungan Rakyat Sabah yang merangkumi PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi 38 daripada 73 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Gabungan itu turut disokong tiga Adun Bebas menjadikan kerusi mereka kini 41, berbanding 32 Warisan Plus.

Isnin lalu, Pengerusi PN Sabah, Datuk Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16. – Malaysiapost