Annuar Musa dakwa Umno ditawar jawatan Ketua Menteri Sabah

Annuar Musa dakwa Umno ditawar jawatan Ketua Menteri Sabah

JAWATAN Ketua Menteri Sabah ditawar kepada Umno oleh kepimpinan Bersatu sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa menjelaskan silap Umno ialah tidak menyahut tawaran itu dan menggunakan pendekatan sendiri.

Pendekatan itu, katanya, menimbulkan kerumitan apabila jumlah kerusi yang dimenangi BN jauh lebih rendah daripada yang diharapkan.

“BN Sabah terlalu yakin memenangi 26-27 kerusi. Laporan pengundi putih pada awalnya begitu meyakinkan, 27 daripada 41 kawasan melepasi sasaran ‘stock’ putih.

“Malangnya pada D Day (hari penentuan) tak sampai separuh yang diterjemah kepada “keluar” dan “undi”… ini paling rendah berbanding semua Pilihan Raya Kecil sebelum ini. 

“Menjelang 3 petang hari mengundi hanya 7 daripada 41 melepasi garis kritikal. Ertinya jentera masih lemah atau data tidak tepat dan salah cula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Annuar berkata, isu pertembungan kerusi sesama sendiri yang berlaku ditulis banyak pihak dan tidak kurang tuduh menuduh.

“Pada pemerhatian saya ia bukan berpunca dari PPBM (Bersatu), malah Umno dan PPBM tidak bertembung. Ia bermula bila PBS (Parti Bersatu Sabah) mahu banyak kerusi dengan lambang sendiri.

“Setelah masing masing tak beralah, berlakulah “free for all” di kebanyakan kerusi Bumiputera bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata, tiga hari sebelum mengundi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu mesyuarat koordinasi mencadangkan kompromi antara parti dengan cara ‘tarik satu, dapat satu’ melibatkan lapan kerusi.

“Malangnya masing masing enggan beralah. Hasilnya hampir semuanya kalah di situ.

“Bung (Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin) membuat satu pengakuan menarik bahawa calon muda dan baru kurang upaya menyaingi calon ‘established’. Ia suatu pengajaran boleh sama-sama kaji.

“Dari pemerhatian saya politik konfrontasional yang wujud dalam Umno Sabah agak merugikan. Sekiranya politik rekonsiliasi dipakai, mungkin lebih banyak kerusi boleh dimenangi.

“Begitu juga percubaan mendapatkan banyak kerusi untuk bertanding tak semestinya untung. Yang lebih penting adalah kerusi dimenangi, bukan ditandingi. BN bertanding 41, menang cuma 14, PN bertanding 27 tapi menang 17,” katanya.

Katanya lagi, keharmonian jentera antara BN dan PN juga bermasalah di banyak tempat apabila bersendirian baik pemimpin di bawah mahu pun di atas.

“Secara keseluruhan, Umno dan BN Sabah berjaya menumbangkan kerajaan Warisan, tidak mudah. Tetapi Bung dan BN Sabah sudah berjaya melakukannya.

“Meskipun kecewa jumlah kerusi hanya 14, tidak seharusnya terlalu berpendirian negatif dan rasa gagal.

“Pada saya Umno Sabah mencapai kejayaan besar, dari tinggal hanya satu kerusi pada 2018, kini 14 Adun bersama satu jawatan Timbalan Ketua Menteri, empat menteri dan mungkin 5-6 pembantu menteri, dua Adun Dilantik, Timbalan Speaker dan lain-lain.

“Kita harus percaya, kejayaan itu adalah hasil politik Muafakat. Malah persengketaan yang telah menyebabkan kita kehilangan beberapa kerusi, GRS sepatutnya boleh memenangi 10 lagi kerusi,” katanya.

Beliau seterusnya meminta semua pihak supaya tidak melebarkan perpecahan yang amat didambakan musuh politik. – Malaysiapost