Banyak laporan kes rasuah, ketirisan babit penjawat awam bermotif politik

Banyak laporan kes rasuah, ketirisan babit penjawat awam bermotif politik

TIDAK semua kes rasuah dan ketirisan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kes rasuah dan ketirisan melibatkan agensi dan jabatan kerajaan telah didakwa dan dituduh di mahkamah.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata ini kerana kebanyakan laporan yang diterima itu hanya bersifat politik dan persepsi semata-mata.

“Jika kita lihat kes-kes pendakwaan dibawa ke mahkamah adalah sangat kurang berbanding laporan yang diterima SPRM.

“Begitu juga yang disabitkan dengan kesalahan, Cuepacs difahamkan kes yang melibatkan penjawat awam dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah juga sangat rendah berbanding laporan diterima SPRM.

“Dalam hal ini Cuepacs mendapati kebanyakan laporan salah laku dibuat kepada pihak berkuasa terutama SPRM dilakukan oleh pihak yang tidak mempunyai bukti yang cukup,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang mendedahkan kes rasuah ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam berada pada tahap kritikal.

Tanpa mendedahkan statistik sebenar, Azam Baki berkata hampir 50 peratus kes ketirisan perolehan kerajaan banyak berlaku melibatkan agensi-agensi kerajaan.

Mengulas lanjut, Adnan berkata sebagai pihak berkuasa yang menjalankan amanah, sudah tentu setiap laporan yang diterima akan disiasat dengan teliti oleh SPRM.

Katanya, setelah siasatan dilakukan, kebanyakan kes yang dilaporkan adalah tidak benar dan tidak dituduh di mahkamah.

“Sekiranya dituduh sekali pun tidak semua kes tersebut disabitkan bersalah. Cuepacs mendapati banyak aduan yang diterima lebih bersifat ketidakpuasan pihak tertentu kepada pihak lain dan mereka menggunakan pihak berkuasa untuk membuat laporan bagi menyiasat ketidakpuasan hati tersebut.

“Cuepacs berharap dan meminta pihak-pihak di luar sana jangan terlalu banyak bebankan agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan polis dengan membuat aduan palsu dan tidak benar semata-mata kerana bermotifkan ketidakpuasan hati atau bersifat politik.

“Jika perkara ini terus berlaku, ia hanya akan mewujudkan persepsi yang tidak baik kepada penjawat awam dan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Beliau turut berharap masyarakat tidak terjerat dengan persepsi hanya kerana laporan yang diterima tinggi. – Malaysiapost