Covid-19: Jangan sebar berita palsu

Covid-19: Jangan sebar berita palsu

MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan atau menyebarkan berita palsu berkaitan Covid-19.

Beliau berkata, individu yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, sejak kebelakangan ini, terlalu banyak berita palsu berkenaan penularan Covid-19 seperti di beberapa pasar raya dan bank sehingga mengundang kebimbangan awam.

“Penularan berita palsu ini telah menyebabkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja boleh menentukan kawasan-kawasan awam yang mempunyai kes positif Covid-19.

“Begitu juga, penularan beberapa berita palsu mengenai nama individu yang dijangkiti Covid-19.

“KKM tidak pernah menyiarkan nama individu yang positif Covid-19 kerana ianya tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

“Mana-mana pihak yang mengeluarkan nama individu dijangkiti Covid-19 ini boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Malah, katanya, hanya KKM sahaja yang boleh mengeluarkan arahan kuarantin 14 hari dan surat pengesahan kepada individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 atau yang mempunyai gejala.

“KKM akan memaklumkan mengenai kuarantin 14 hari melalui surat yang akan dihantar kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Ismail Sabri turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dan tidak menjadi penyebar berita palsu.

“Sila semak kesahihan berita sebelum sebar. Perlu diingatkan bahawa penyebar juga boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya. -Malaysiapost