Covid-19: SK Permatang Janggus ditutup

Covid-19: SK Permatang Janggus ditutup

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga, Pulau Pinang diarah tutup selama lapan hari selepas seorang guru wanita disahkan positif Covid-19.

Arahan penutupan itu dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) yang berkuat kuasa mulai hari ini.

Pengarah JPNPP, Abdul Rashid Abdul Samad, berkata penutupan sekolah dibuat bagi membendung penularan pandemik Covid-19 menjadi lebih serius.

“Setakat ini, sekolah itu akan ditutup selama lapan hari dan sebarang keputusan lain akan dibuat selepas pihak kami bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Buat masa ini, pihak kami belum mendapat laporan lengkap dari SK Permatang Janggus namun dimaklumkan semua murid di situ perlu menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini,” katanya seperti dilapor di Berita Harian.

Tinjauan yang dilakukan di luar perkarangan sekolah mendapati rata-rata ibu bapa dan penjaga menjadi cemas ketika menunggu anak-anak mereka menjalani ujian saringan Covid-19.

Ibu bapa berada di sekolah terbabit selepas mereka menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp bahawa anak mereka diarahkan melakukan ujian berkenaan.

Ini berikutan terdapat seorang guru wanita di sekolah itu yang berusia lingkungan 40-an disahkan positif Covid-19.

Guru wanita itu dilaporkan tidak sihat ketika di sekolah sebelum dia pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kedah.

Difahamkan, guru wanita itu adalah isteri kepada seorang ahli politik di Kedah yang berkempen di Sabah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) itu baru-baru ini.

Kira-kira 600 murid di sekolah berkenaan menjalani ujian terbabit dan mereka diarahkan kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan keluar.

Situasi Covid-19 di Pulau Pinang pada ketika ini merekodkan jumlah kumulatif 144 kes yang mana 137 kes sembuh, lima kes aktif dan dua kematian. -Malaysiapost