Dr Noor Hisham beri bayangan PKP semula?

Dr Noor Hisham beri bayangan PKP semula?

“APA kata semua duduk di rumah untuk sementara semula?

Itu persoalan diajukan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah kepada pengguna Twitter, awal pagi tadi.

Persoalan itu membayangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbang untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak Covid-19 daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.

Soalan itu diajukan Noor Hisham ketika membalas ciapan seorang pengguna Twitter yang meminta pergerakan rentas negeri dihentikan sementara waktu kerana tidak percayakan kuarantin kendiri.

Terdahulu, pengguna Twitter @domycw secara sinis mengemukakan soalan sama ada orang yang pulang dari luar negara membawa virus berbeza sambil mengepilkan laporan berita Edge Prop Malaysia.

Berita itu merujuk kepada kenyataan Dr Noor Hisham berkaitan orang ramai yang pulang dari Sabah dan diuji negatif Covid-19 tanpa simptom tidak perlu dikuarantin.

Menjawab ciapan itu, Dr Noor Hisham menyoal kembali perlukah orang ramai yang pulang dari Kedah dikuarantin walaupun zon merah hanya di Kota Setar dan diuji negatif.

Kemudiannya, seorang lagi pengguna Twitter @zalifahms menggesa supaya perjalanan rentas negeri dihentikan untuk sementara waktu kerana tidak percayakan kuarantin kendiri.

Ia kemudian dibalas Noor Hisham ‘How about all stay at Home for awhile again?’. – Malaysiapost