Kawalan Rentas Daerah di Sabah tengah malam ini

Kawalan Rentas Daerah di Sabah tengah malam ini

Muhammad Mustakim Ramli

MESYUARAT Khas Menteri-Menteri memutuskan untuk melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kawalan Rentas Daerah itu dilaksanakan sehingga 15 Oktober ini.

Katanya, bagaimanapun perkhidmatan perlu (essential services) seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah.

“Sepanjang tempoh ini, mereka yang sedang dikuarantin dan akan tamat tempoh kuarantin dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

“Namun, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang diumumkan sebelum ini kekal berkuatkuasa seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri memperutukkan RM50 juta dalam keadaan segera bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik berkenaan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk bakul makanan kepada penduduk di empat daerah yang terbabit PKPDB iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak.

“Semua pengurusan berkaitan isu Covid-19 akan dikendalikan sepenuhnya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri,” katanya menerusi kenyataan.-Malaysiapost