Kerajaan baharu: Umno belum bincang dakwaan Anwar

Kerajaan baharu: Umno belum bincang dakwaan Anwar

TAN Sri Annuar Musa sekali lagi menolak khabar angin mendakwa Ahli Parlimen Umno akan bergabung dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu, berkata setakat ini dakwaan Anwar itu tidak dibincangkan di peringkat parti.

“Dakwaan dibuat oleh Anwar tidak pernah dibincangkan dalam Umno.

“Saya pernah bertanya kepada rakan-rakan kerana saya mendapat senarai beberapa orang yang dikatakan menyertai Anwar, tetapi bila saya memanggil mereka, mereka semua menafikannya,” katanya seperti dilaporkan The Malaysian Insight.

Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata beliau sendiri masih tertanya-tanya mengenai perkara itu.

“Jadi, saya masih tertanya-tanya dengan dakwaan itu. Saya juga sudah bercakap dengan presiden parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

“Mungkin, kenyataannya (Zahid) sebelumnya adalah pada peringkat individu tetapi pastinya bukan peringkat parti supaya parti tiada sebab untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata beliau tidak akan menghalang mana-mana ahli Parlimen BN atau Umno sekiranya mereka mahu menyokong Presiden PKR itu.

Berikutan kenyataan Ahmad Zahid itu, Umno, PAS dan Bersatu dijangka akan bertemu untuk membincangkan dakwaan Anwar itu, minggu ini. -Malaysiapost