Nourul Depp ‘sound’ menteri Sabah

Nourul Depp ‘sound’ menteri Sabah

HARI pertama memulakan sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun semalam kena ‘sound’ dengan penyanyi Nourul Depp.

Isteri kepada Eric Daniel Depp itu memuat naik ciapan di Twitter meminta Masidi yang mengangkat sumpah jawatan di Istana Negeri Sabah kelmarin, supaya menghentikan pembinaan kondominium dan pangsapuri di tengah Kuala Lumpur.

“Tolong berhenti bina kondominium dan pangsapuri di pusat KL.

“Bangunan semua dah rapat dan kes denggi sudah meningkat. Oh ya siapa yang akan membeli kondo tersebut? Sila periksa Pavillion developer di Bukit Ceylon. Terima kasih,” ciap Nourul.

Malah, dia berkongsi ciapan asal Masidi mengenai pelantikannya sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah selepas bertukar portfolio dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Tangkap layar ciapan Nourul Depp di Twitter

Dipercayai, Nourul tidak tahu atau mungkin terlepas pandang yang Masidi adalah menteri Sabah, bukan menteri Persekutuan yang menjaga isu perumahan seluruh negara, termasuk di Kuala Lumpur.

Masidi yang mula bertugas di kementeriannya semalam kemudian membalas ciapan Nourul dengan menjelaskan fungsi menteri di Sabah yang berbeza dengan jawatan Exco membabitkan negeri-negeri di Semenanjung.

“Sekadar makluman, Sabah dan Sarawak mempunyai Menteri sendiri (berbeza dengan Exco) kerana kita ada kementerian-kementerian negeri yang berfungsi sama dengan kementerian-kementerian Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai misalan kementerian saya mempunyai agensi-agensi di bawahnya termasuklah semua PBT (pihak berkuasa tempatan) di Sabah,” katanya.

Ciapan Nourul itu menarik perhatian pengguna Twitter apabila ramai yang menjelaskan Masidi hanya menjaga isu perumahan di Sabah, tidak kurang juga yang ‘membahan’ penyanyi tersebut.

Pengguna Twitter menggunakan nama Classic Syed dalam balasannya menulis lirik lagu Keliru, nyanyian Nurul dan bekas suaminya Ajai, mungkin sebagai sindiran terhadap kekeliruan penyanyi tersebut.

“Salahkanku… jangan salahkan ku… Kasihani aku… kau lupakan aku… Mana satu… ku jadi keliru… Aku makin keliru.”

Norman Dasuki pula menulis: “Kak, ini antara kita jer, nak bgtau ni.. KL dengan KK lain kak. Akak salah terjah ni, masa bagi komen ni, akak tengah nyanyi lagu “keliru” ker? – Malaysiapost