Presiden harus beri pedoman, halatuju jelas kerjasama politik – Tok Mat

Presiden harus beri pedoman, halatuju jelas kerjasama politik – Tok Mat

SUDAH tiba masanya Presiden Umno memberikan pedoman dan halatuju jelas kepada parti dan semua ahlinya tentang bagaimana harus meneruskan kerjasama dengan pesaing politik, tegas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara Umno diperlakukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Justeru beliau berkata, untuk menuju masa depan, Umno mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui “langkah Sheraton” adalah demi menyelamatkan negara kerana episod itu telah berakhir.

“Episod seterusnya ialah bagaimana Umno akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia lebih baik melalui Barisan Nasional (BN) dan bukannya platform politik lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, keputusan PRN Sabah menunjukkan bahawa strategi dan kerjasama politik yang Umno meterai, tidak menguntungkan parti itu, malah semakin memencilkan peranannya di negeri itu.

“Daripada sebuah parti yang menguasai Sabah selama 27 tahun, Umno waktu ini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan GRS (Gabungan Rakyat Sabah).

“Apa yang berlaku di Sabah memerlukan Umno memikirkan semula pendekatan politiknya. Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan Umno akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan Umno dalam jangka waktu panjang,” katanya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, pengorbanan memberikan kerusi terkuat kepada parti tertentu menjejaskan kekuatan Umno secara signifikan.

Malah, lebih menyedihkan, katanya, Umno terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja pihak berkepentingan untuk melemahkan Umno.

“Janji yang dimeterai berkaitan portfolio Kabinet pun hampir dimungkiri. Umno tidak boleh membiarkan episod pilihan raya Sabah menjadikan kedudukannya seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Umno dinilai dengan apa yang boleh ditawarkan kepada Malaysia bukan betapa besar pengorbanan untuk parti tertentu atau kelangsungan Perikatan Nasional (PN).

“Jika kita terpaksa bersendiri bersama PAS dalam Muafakat Nasional dan BN serta parti komponennya dalam menghadapai PRU akan datang, maka putuskan sedemikian dengan segera, agar kita dapat menyediakan diri.

“Marilah kita mulai saat ini, mengembalikan Umno ke landasan sebenarnya. Kusut dihujung, balik lah ke pangkal,” katanya. – Malaysiapost