PRU tempoh terdekat tidak bertanggungjawab – KJ

PRU tempoh terdekat tidak bertanggungjawab – KJ

KEPUTUSAN mahu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam tempoh terdekat ketika kes Covid-19 sedang meningkat dianggap sebagai tindakan sangat tidak bertanggungjawab.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata berdasarkan pemerhatiannya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pematuhan orang ramai dan orang kenamaan terhadap prosedur standard operasi (SOP) membendung penularan pandemik itu adalah amat longgar.

“Saya bercakap sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Pada pandangan saya, adalah sangat-sangat tidak sesuai untuk kita adakan Pilihan Raya Umum dalam masa yang terdekat. Tetapi, sudah tentu, jika sebagai ahli politik (jawapannya) lain lah.

“Jika PRN Sabah menjadi satu medan ujian untuk mengadakan Pilihan Raya Umum, saya nampak dari segi pematuhan SOP sama ada orang biasa atau orang kenamaan, terutama orang kenamaan, kita gagal,” katanya seperti dilapor BH.

Berdasarkan perkembangan semasa penularan Covid-19 di Malaysia, terdapat peningkatan kes jangkitan virus itu sejurus PRN di Sabah dan menular ke Semenanjung dengan kini mendatangkan kebimbangan mengenai kesan mengadakan PRU dalam tempoh terdekat. -Malaysiapost