PRU15: ‘Kalau nak buat sangat, buatlah’

PRU15: ‘Kalau nak buat sangat, buatlah’

Nilam Oshman

PILIHAN Raya Umum (PRU) amat tidak selamat dan berisiko tinggi jika diadakan dalam tempoh terdekat, kata Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.

Ini kerana, katanya, ketika ini berlaku peningkatan dalam kes Covid-19 di seluruh negara dan pihak terbabit perlu mengambil iktibar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan kes baharu pandemik itu sukar dikawal.

“Maknanya ahli politik kena fikir keselamatan, beban kerja dan beban ekonomi kalau buat PRU, tetapi kalau nak sangat buat, buatlah… nasiblah kita (rakyat),” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Dr Zainal Ariffin turut berharap kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan tindakan lebih tegas terutama berkaitan prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan Covid-19 ketika berkempen serta mengundi.

“Kita harap SPR buat ketat sikitlah, betul-betul pantau, betul-betul denda kepada mereka yang melanggar perintah SOP dan sebagainya.

“Kalau tidak tak terkawal… kita minta perketat 100 peratus, maknanya kalau kata berkempen, hadkan kepada 50 orang, kalau lebih tangkap dan kalau menteri atau sesiapa saja langgar SOP, tangkap,” ujarnya.

Sebelum ini beberapa pemimpin politik daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyatakan keadaan kini sesuai untuk mengadakan PRU, susulan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN Sabah, Sabtu lalu.

Antaranya, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan kemenangan GRS di Sabah petanda baik kepada gabungan parti kerajaan Persekutuan untuk berdepan PRU. – Malaysiapost