Sri Pahang legenda buaya putih gergasi Tasik Chini

Sri Pahang legenda buaya putih gergasi Tasik Chini

PAHANG menjadi salah satu pasukan yang memperkenalkan nama baharu bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan dengan memilih nama Sri Pahang FC.

Nama itu bagaimanapun mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat yang ingin mengetahui sebab dan faktor utama mengapa nama itu dipilih.

Pengguna Twitter, Taslim Razin memberikan penjelasan bahawa nama Sri Pahang itu ada sedikit unsur legenda membabitkan seekor buaya air masin putih gergasi yang dikatakan hidup di Tasik Chini, Pekan.

Katanya, Sri Pahang terkenal kerana pertembungan dengan syaitan laut hitam yang disebut Seri Kemboja.

Dalam versi lain, Sri Pahang dan Sri Kemboja digambarkan sebagai seekor ular gergasi yang turut dikenali dengan nama Naga.

Namun sehingga kini belum ada kenyataan rasmi dari pihak pengurusan pasukan Pahang mengenai nama baharu mereka.

Juara Piala FA 2018 itu juga masih belum pasti sama ada mahu menggunakan logo sedia ada ataupun menggunakan logo baharu. – Malaysiapost