Tabika elit melebarkan jurang masyarakat

Tabika elit melebarkan jurang masyarakat

KERAJAAN digesa menolak cadangan mewujudkan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) elit kerana ia melebarkan jurang antara golongan B40 dengan T20.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata jurang itu boleh menyebabkan keretakan perpaduan dalam masyarakat.

Katanya, negara seharusnya melangkah ke arah pendemokrasian pendidikan awal kanak-kanak yang dapat memberi kesaksamaan terhadap pendidikan berkualiti.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pendidikan awal kanak-kanak atau ECD (early child development) amat penting kerana ia merupakan asas kritikal dalam pembangunan dan kejayaan seseorang.

“Wawasan strategik dalam pendidikan awal kanak-kanak perlu menitikberatkan kualiti persekitaran yang membina, termasuklah pendekatan hidup dan pendidikan yang melibatkan ibu bapa, penjaga, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas cadangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mewujudkan Tabika Elit seperti diumumkan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, baru-baru ini.

Wan Azizah yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, WHO berpendapat kerajaan dan masyarakat sivil harus bekerjasama dengan keluarga bagi menyediakan akses yang saksama kepada semua kanak-kanak kepada persekitaran yang berkualiti lagi membina.

“Tabika elit yang dicadangkan itu adalah bertentangan dengan aspirasi ini dalam pendidikan awal kanak-kanak.

“Aspirasi pendemokrasian pendidikan awal kanak-kanak ini telah dipelopori sebelum ini dengan rancangan menggabungkan institusi-institusi pendidikan awal kanak-kanak melalui penubuhan satu jawatankuasa khas.

“Rancangan ini telah dimaklumkan kepada Dewan Rakyat pada November 2018 bahawa Kabinet telah meluluskan pembentukan jawatankuasa khas ini yang akan berperanan mengawal selia secara bersepadu penubuhan dan operasi institusi pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost