Tun M belum yakin dakwaan Anwar

Tun M belum yakin dakwaan Anwar

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau masih belum yakin dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa memiliki majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu mengakui situasi kini berbeza memandangkan sokongan Ahli Parlimen terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin amat lemah.

“Kali ini kita dapati kelebihan majoriti Muhyiddin ini cuma dua orang saja, kalau dua orang keluar (tidak menyokongnya), dia jatuh.

“Tak ada kerajaan Malaysia yang begitu tipis majoritinya hanya dua orang saja… kalau dua orang ini sakit perut tak datang (Parlimen), jatuhlah,” katanya dalam wawacara khas bersama Malaysia Gazette.

Mengulas dakwaan Anwar, Dr Mahathir berkata ia bukanlah kali pertama Ahli Parlimen Port Dickson itu berbuat demikian.

“Dia kerap dakwa ada majoriti, ada sekali itu dah pakai baju dah, nak pergi istana dah, nak angkat sumpah dah… tiba-tiba tak jadi.

“Selepas itu dia kata kepada Pakatan Harapan (PH) dia ada majoriti, ketika itu DAP tidak setuju dengan kerajaan perpaduan saya, jadi mereka beri undi kepada Anwar tapi dia tak ada majoriti,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, tanpa sokongan Parti Pejuang Tanah Air yang memiliki enam Ahli Parlimen, Anwar mendakwa memiliki majoriti besar.

“Tanpa kami (Pejuang) dia kata dia ada majoriti besar, bukan lima, bukan enam, bukan 10 tapi lebih. Ada kata sampai 20 orang tapi kita tak tahu lagilah.

“Dia punya dakwa katanya nak pergi mengadap Agong tapi belum berlaku. Bila tanya siapa (Ahli Parlimen) dia tak mahu bagitahu… jadi dia selalu dakwa macam itu, saya masih belum boleh yakin,” katanya. – Malaysiapost