Tun M tak maafkan Najib sampai bila-bila

Tun M tak maafkan Najib sampai bila-bila

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak boleh memaafkan orang yang menghancurkan Umno sampai bila-bila.

Menjawab kepada persoalan adakah beliau bersedia memaafkan Datuk Seri Najib Razak seperti beliau memaafkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata, ia perkara berbeza.

“Saya tak boleh maaf orang yang menghancurkan parti saya (Umno), itu dia buat… dia buat betul-betul sampai orang benci pada Umno,” katanya dalam satu wawacara khas bersama Malaysia Gazette.

Dr Mahathir berkata, ketika beliau meletakkan jawatan pada tahun 2003, jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh Tun Abdullah Badawi sebelum berlaku pilihan raya setahun kemudian.

“Masa saya letak jawatan bila ada pilihan raya dia (Abdullah) menang lebih daripada masa saya, tapi sekarang orang tolak Pak Lah (Abdullah), orang tolak Najib.

“Prestasi Najib lebih teruk daripada Pak Lah. Orang yang hancurkan Umno saya tak boleh maaf… sampai bila-bila,” katanya

Terdahulu, dalam wawacara itu, Dr Mahathir memberitahu beliau sebenarnya rapat dengan Ahli Parlimen Pekan itu kerana bapanya iaitu Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau berkata, Tun Abdul Razak amat berjasa kepadanya sehingga mendapat tempat di dalam Umno, bahkan menjadi Perdana Menteri.

“Saya berasa terhutang budi kepada bapanya dan sebolehnya saya hendak tolong Datuk Seri Najib.

“Apabila Pak Lah menjadi Perdana Menteri, saya berusaha bersungguh-sungguh untuk beliau pilih Najib sebagai timbalannya dan pilih Najib sebagai penggantinya.

“Saya berusaha bersungguh-sungguh sampai saya berkelahi (bergaduh) dengan Pak Lah kerana dia mahu pilih orang lain,” katanya.

Justeru, Dr Mahathir berkata, apabila Najib mengambil alih tampuk kerajaan beliau amat gembira bahkan hadir ke Perhimpunan Agung Umno untuk menyatakan sokongan.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila Dr Mahathir mendakwa Najib mengeluarkan kenyataan ‘cash is king’ (duit adalah raja) dan laporan berkaitan kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Laporan-laporan yang dibuat dalam The Edge nampak betul dia (Najib) tak dapat jawab, jadi saya berpendapat tuduhan ini benar.

“Pada ketika itu saya dapati dia tidak menjawab dan tidak menafikan, saya berpendapat bahawa benar apa yang dikatakan. Apabila dia buat macam itu, dia hancurkan Umno,” katanya. – Malaysiapost