Tun M ulang kenyataan bohong – Najib

Tun M ulang kenyataan bohong – Najib

WAWANCARA Khas Tun Dr Mahahthir Mohamad dengan sebuah portal berita malam tadi hanya mengulangi kenyataan bohong, kata Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, sebagai contoh, Dr Mahathir mengulangi kenyataan bohong bahawa tidak pernah membenarkan anak-anaknya masuk politik dan berniaga di dalam negara ketika menjawat jawatan Perdana Menteri.

“Dah banyak kali saya buktikan ini satu bohong tapi PM4/7 (merujuk kepada Mahathir) masih nak ulang,” katanya pada hantaran di Facebook, hari ini.

Najib berkata, Dr Mahathir sebenarnya memerangkap dirinya sendiri tanpa sedar ketika wawancara itu berlangsung.

“Mula-mula dia kata dia tak benarkan anak dia berniaga dalam Malaysia masa dia PM (Perdana Menteri), lalu dia kata anak dia terpaksa jual syarikat perkapalan dia kepada MISC apabila anak dia menghadapi bankrap.

“Eh.. Syarikat perkapalan itu di Malaysia. MISC juga syarikat Malaysia dimiliki Petronas,” katanya sinis.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mengingatkan Dr Mahathir bahawa ketiga-tiga anaknya banyak meniaga dalam Malaysia ketika beliau Perdana Menteri.

“Antaranya syarikat Konsortium Perkapalan, Artwright, Dataprep, Diperdana Corp, Pelikan, Reliance, Tongkah Holdings, Pantai Hospitals, Phileo Allied Bank, Phileo Land, Kamunting Corp, Eastern & Oriental Berhad, Opcom Berhad dan lain-lain.

“Tahun lepas, seorang anak Tun juga pernah mengaku diberi kawasan pembalakan 1,000 hektar semasa Tun M jadi PM,” katanya sambil mengepilkan laporan portal berita itu.

Bekas Perdana Menteri Keenam itu turut mengingatkan bahawa ketika Dr Mahathir memerintah anaknya sudah menjadi Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Timbalan Bendahari Pemuda Pusat dan Bendahari Umno Kedah.

“Tang mana yang anak Tun tak masuk politik masa Tun jadi PM?,” soalnya.
-Malaysiapost