Sejarah di sebalik nama Raja Laut

Sejarah di sebalik nama Raja Laut

Nilam Oshman

BARU-baru ini kecoh apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menukar nama Jalan Raya Laut 1 kepada Jalan Palestin, sebagai simbolik sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat negara itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kemudian membantah dan meminta DBKL mencari jalan lain lebih sesuai bagi tujuan berkenaan.

Ini kerana, katanya, Jalan Raja Laut 1 hendaklah dikekalkan seperti asal memandangkan ia membawa makna besar kepada sejarah Melayu dan Kuala Lumpur.

Tahukah anda sejarah di sebalik nama ‘Jalan Raja Laut’ adalah bersempena nama seorang Majistret dan Penghulu di Kuala Lumpur, iaitu Raja Muda Laut Ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah.

Pakar sejarah, Prof Datuk Ramlah Adam yang membantah tindakan DBKL menggantikan nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin, berkata nama Jalan Raja Laut itu diambil dari seorang tokoh dan pejuang kerajaan Selangor lama.

Katanya, selain Raja Laut, Raja Jumaat, Raja Abdullah, Raja Alang adalah tokoh-tokoh lama yang membuka Kuala Lumpur.

“Mereka ini yang telah memberi peranan pembangunan di Kuala Lumpur. Kita sebenarnya selalu tonjolkan Yap Ah Loy… itu salah.

“Yap Ah Loy datang setelah bandar itu ada, walaupun (Kuala Lumpur) tak semaju dia (Yap Ah Loy) buat. Itupun maju sebab dia buka kedai-kedai judi, pelacuran, arak nak bagi pelombong-pelombong Cina suka.

“Raja-raja kita pula buka (Kuala Lumpur) ketika itu untuk penempatan, ada lombong bijih tapi lainlah skill (kemahiran) dia.

“Dulu Kuala Lumpur bawah Selangor sebab itu Sultan ambil jawatankuasa, kerajaan dahulu letakkan nama raja-raja kerana mereka bina Kuala Lumpur,” katanya kepada Malaysiapost.

Pakar sejarah mahu nama Jalan Raja Laut dikekalkan

Menurut portal Wangsa Mahkota Selangor, Raja Laut merupakan putera kedua Sultan Muhammad Shah, dan mendapat nama ‘Laut’ kerana dikatakan dilahirkan ketika bondanya berada di perairan sekitar Lukut, Perak.

Raja Laut itu adalah pengasas kepada Kuala Lumpur Sanitary Board sewaktu ia ditubuhkan pada 1890.

Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur, di mana baginda turut menghantar putera tunggalnya, Raja Alang ke sekolah berkenaan.

Baginda telah dilantik sebagai Raja Muda Selangor pada tahun 1898 selepas Raja Muda Suleiman dimasyurkan sebagai Sultan Selangor ke-5 bergelar Paduka Sri Sultan Ala’uddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Baginda menggunakan gelaran ‘Raja Muda Laut’ sehingga tahun 1903.

Apabila Kesultanan Selangor mengurniakan gelaran Tunku Mahkota untuknya sebagai pewaris takhta kepada Tengku Musa Uddin Ibni Sultan Ala’uddin Suleiman Shah, Raja Muda Laut tetap mengekalkan gelaran ‘Raja Muda’ sehingga kemangkatan baginda pada 9 Jun 1913.

Justeru, tanda penghargaan dan mengingati baginda, nama Raja Laut diabadikan sebagai nama sebatang jalan yang bersambung dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kini, Jalan Raja Laut telah menjadi jalan utama di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Prof Ramlah berkata, adalah lebih baik pihak DBKL menamakan Jalan Palestin di jalan-jalan baharu di luar Kuala Lumpur.

“Jangan ganggulah nama jalan-jalan lama. Janganlah tukar nama jalan orang Melayu. Ia fakta sejarah, kalau tak tahu sejarah, tak tahu hargai, jangan buang… kaji dulu,” katanya. – Malaysiapost

Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter membantah pertukaran nama Jalan Raja Laut 1